Apabila sebut sahaja gotong-royong kaum ibu sudah pasti orang yang paling sibuk di dapur dalam menyediakan kelengkapan yang akan digunakan dalam masakan. Lihat sahaja kaum ibu di Taman Mutiara 1 ini, semangat kerjasama membantu antara satu sama lain harus dipuji. Selain itu, kemeriahan dalam menyediakan juadah sangat dirasai.
Pada 31 Julai yang lalu, penduduk Taman Mutiara 1 mengadakan Jamuan Hari Raya Aidilfitri dengan temanya ‘Mengeratkan Silaturahim’. Namun, sehari sebelumnya iaitu pada 30 Julai, persatuan wanita sudah berkumpul memotong bawang, memotong daging dan pelbagai keperluan lagi kerana pada petangnya, aktiviti membakar lemang akan dijalankan.